Monday, August 20, 2018

Sheikh Abdul Qadir Jailani



Sheikh Abdul Qadir Jailani terkenal sebagai salah seorang ulama besar pada masanya. Malah beliau juga dikenal mempunyai banyak karamah dan tokoh Tariqat Al Qadiriyah.

Beliau adalah dari keturunan Rasullulah Saw dan menuntut berbagai bidang ilmu agama di Parsi dan Baghdad dari berpuluh orang ulama besar hingga beliau menjadi alim dan mempunyai bayak muridnya sendiri di kota Baghdad, Iraq.

Pada suatu malam beliau bermimpi bertemu dengan Rasullulah saw dan baginda telah meludah ke dalam mulutnya tujuh (7) kali. Sejak peristiwa itu beliau menjadi lebih pintar menyampaikan ceramahnya kepada orang banyak dan banyak ilmu hakikat yang diperolehinya.

Bagaimanapun, untuk mencapai ilmu hakikat karunia Allah itu beliau pernah mengasingkan diri selama berpuluh tahun untuk beribadat, berpuasa, berzikir, dan membaca Al-quran khatam setiap malam.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ada sekumpulan ulama hendak menguji ilmu beliau lalu mereka mengundang beliau hadir ke majlis itu, tetapi tidak ada seorang pun yang berani bercakap. Mulut mereka seolah-olah terkunci dan ingatan mereka hilang sekaligus.

Akhirnya sheikh Abdul Qadir mengangkat kepalanya dan meminta mereka mula berbicara. Tetapi orang yang mula berbicara terus meminta maaf kepadanya kerana berniat buruk terhadapnya.

Kemudian beliau pun menjawab semua soal yang ditujukan kepadanya hingga semuannya berpuas hati.
Sheikh Abdul Qadir adalah seorang hamba Allah yang sentiasa beribadat siang dan malam, sentiasa berwuduk dan salat sunat dua rakaat.

Syeikh Abdul Fattah Al Harawi, khadamnya yang berkhidmat selama 40 tahun berkata : “Pada suatu malam aku melihat beliau solat sunat 2 rakaat, kemudian berzikir sampai tiga perempat malam yang pertama.

“Selama berzikir itu aku lihat tubuhnya diselimuti oleh semacam nur hingga tubuhnya tidak kelihatan. Kemudian beliau berdiri dan solat sunat dengan memanjangkan bacaan Al-quran dan sujudnya.

Sesudah itu beliau berzikir lagi hingga terbit fajar. Pada saat-saat akhir aku dengar suara orang memberi salam dan beliau menjawab salam itu satu persatu sampai tiba solat subuh.”

Sheikh Abdul Qadir pernah menceritakan pengalaman dirinya sendiri waktu dia masuk ke negeri Iraq dan dapat berjumpa dengan Khidir seperti pertemuan pertemuan Khidir dengan Nabi Musa dahulu (baca kisah pertemuan ini dalam surah al-Kahfi).

Khidir menyuruh beliau duduk di suatu tempat hingga dia datang lagi.”Aku duduk di situ selama setahun hingga Khidir datang lagi. Pada mulanya Sheikh Abdul Qadir makan daun kayu dan rumput untuk hidup dan minum air.

Selama setahun, beliau berpuasa dan tidak tidur. Akhirnya pada suatu malam yang dingin dia merasa mengantuk dan tertidur. Dalam tidurnya itu dia ihtilam (mimpi jimak ) hingga keluar mani. Lalu dia mandi wajib di dalam sungai. Sesudah itu dia tertidur lagi dan ihtilam lagi berkali sebanyak 40 kali.

Akhirnya beliau berjaya melawan tabiat tidurnya dan beribadat tanpa tidur lagi.

Diriwayatkan bahwa seorang ibu pernah membawa puteranya kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani untuk diajar semoga anak itu akan menjadi seperti beliau. Anak itu, pun disuruhnya beribadat siang dan malam serta mengurangkan tidur dan makan.

Pada suatu hari ibunya datang dan melihat tubuh anaknya kurus dan lemah lalu dia pergi menemui Syeikh Abdul Qadir. Dilihatnya beliau makan ayam di atas meja. Wanita itu pun menyatakan kesalnya kerana anaknta sendiri kelihatan kurus dan lemah.

Syeikh Abdul Qadir pun meletakkan tangannya di atas tulang-tulang ayam di dalam pinggan itu dan berkata:”bangkitlah wahai ayam dengan izin Allah.” Si ibu itu kehairanan melihat tulang-tulang ayam tadi bertukar menjadi ayam yang hidup. “Kalau puan mahu anak puan makan makanan yang baik-baik bersabarlah sampai dia menjadi seperti saya.”

Syeikh Al Harawi melaporkan bahawa pada suatu hari beliau melihat 3 ekor kuda menarik kereta yang berisi khamar (arak). Perjalanan kereta itu dikawal beberapa askar menunjukkan khamar itu kepunyaan kerajaan.

Syeikh Abdul Qadir menyuruh para pengawal itu berhenti,namun tiada seorang pun yang sanggup mengikut perintahnya. Kemudian Sayid Abdul Qadir berkata kepada kuda-kuda itu:”Wahai kuda berhentilah kamu dengan izin Allah.” Mala kuda-kuda itu pun berhenti.

Syeikh Abdul Qadir mengambil botol-botol khamar itu dan memecahkannya dengan katanya :“Khamar ini telah menjadi cuka dan tidak boleh diminum lagi.”

Syeikh Al Harawi berkata :”Aku menjamah isi botol yang pecah itu dan bila aku rasa memang isinya telah bertukar menjadi cuka.”
Diriwayatkan pada suatu hari Sayid Abdul Qadir berada dalam sebuah majlis muridnya, tiba-tiba ada seekor burung helang berlegar-legar sambil membuat bising di atas kepala mereka.

Syeikh Abdul Qadir berkata:“Wahai angin, putuskanlah kepala burung itu.” Dengan izin Allah burung itu jatuh dan kepalanya telah putus.

Kemudian beliau pun mengambil badan burung itu, dan kepalanya sambil berkata:”Bismillahir Rahmanir Rahim” hiduplah wahai burung.” Maka burung yang mati itu hidup kembali. Hal ini disaksikan oleh orang ramai di majlis itu.

Pada suatu masa sungai Tigris di Iraq naik sampai ke tebingnya akibat hujan lebat. Penduduk Baghdad jadi ketakutan kerana arus sungai yang deras boleh merosakkan harta benda dan tanaman mereka.

Mereka pergi menemui Abdul Qadir Jailani meminta pertolongannya. Beliau pun pergi ke tebing sungai itu. Sambil menyentuhkan hujung tongkat itu ke tebing sungai dan berkata:”Hai Tigris, tetaplah kau pada had ini sahaja dengan izin Allah.”

Air sungai Tigris itu pun surut pada garis yang ditandakan oleh beliau dengan tongkatnya dan penduduk Baghdad pun terselamat.
Diriwayatkan pada suatu masa Khalifah yang berpusat di kota Baghdad telah datang orang membawa wang emas untuk dihadiahkan kepada Syeikh Abdul Qadir. Ketika kantung wang emas itu diletakkan dihadapannya beliau menekankan tangannya pada kantung itu lalu mencurahlah darah keluar daripada dalamnya.
Beliau berkata:”Tuan hamba telah mengambil wang ini secara paksa dari orang ramai. Wang ini sebenarnya adalah darah mereka yang tuan peras.”

Mendengar kenyataan itu, khalifah itu rebah pengsan.
Syeikh Abdul Qadir Jailani wafat pada bulan Rabiul Awal tahun 561H ketika berumur 91 tahun. Makamnya di Baghdad diziarahi oleh beribu-ribu orang islam setiap hari hingga sekarang.

Syiah dibalik kejatuhan kota Baghdad oleh kafir Tatar



Pada tahun 656 H, Hulagu Khan Raja Tatar berhasil menguasai kota Baghdad yang ketika itu menjadi pusat peradaban Islam di bawah kekuasaan Bani Abbasiyyah. Kejayaan kempen serangan Tatar ini tidak lepas dari peranan dua orang Syiah. Yang pertama adalah seorang menteri pengkhianat khalifah Muktashim yang bernama Mu'yiduddin Muhammad Ibnul Alqamy. Kedua adalah seorang ahli nujum Nashirudin At-Thusi penasihat Hulagu.

Pada penghujung kepemimpinan khalifah Mustanshir, jumlah pasukan Bani Abbasiyyah mencapai seratus ribu tentera. Sepeninggalan Mustanshir dan tampuk kepimpinan dipegang oleh Muktashim. Ibnul Alqamy mengemukakan cadangan kepada khalifah untuk mengurangkan jumlah pasukan dengan alasan untuk menghemat ongkos. Cadangan itu disetujui oleh khalifah. Padahal itu merupakan taktik untuk melemahkan kekuatan tentera. Hingga akhirnya jumlah pasukan hanya sepuluh ribu saja.

Pada saat yang sama, Ibnul Alqami menjalin hubungan gelap dengan Hulagu. Dia sering menulis surat kepada Hulagu dan memberinya motivasi untuk menguasai Baghdad dan berjanji akan membantunya sambil menggambarkan keadaan pertahanan Baghdad ketika itu yang semakin lemah. Dia melakukan itu semua demi memberantas sunnah, menampakkan bid'ah rafidhah dan menukar kuasa dari Bani Abbasiyyah kepada Alawiyyah.

Pasukan Hulagu kemudian bergerak menuju Baghdad. Pasukan Khalifah baru menyedari bahawa Tatar telah bergerak masuk. Usaha penghadangan Tatar yang dilakukan oleh khalifah gagal hingga akhirnya Tatar berjaya menguasai sebahagian wilayah Baghdad. Dalam keadaan itu, Ibnul Alqami berjumpa Hulagu dan membuat perancangan dengannya kemudian kembali kepada khalifah Muktashim dan mencadangkan kepadanya untuk melakukan perdamaian seraya berkata bahawa Hulagu akan tetap memberi kuasa sebagaimana yang Hulagu lakukan terhadap penguasa Romawi.

Dia mau menikahkan puterinya dengan anak lelaki khalifah yang bernama Abu Bakar. Dia terus mencadangkan agar tawaran itu dipersetujui oleh khalifah. Maka khalifah pun berangkat dengan membawa para pembesar pemerintahannya dalam jumlah yang ramai (dikatakan sekitar 1200 orang)

Khalifah menempatkan rombongannya di sebuah kemah. Lalu menteri Ibnul Alqami mengundang para ahli fikih dan tokoh untuk menyaksikan akad pernikahan. Maka berkumpullah para tokoh dan guru Baghdad yang diantaranya adalah Muhyiddin Ibnul Jauzi beserta anak-anaknya untuk berjumpa Hulagu. Apabila tiba, pasukan Tatar membunuh mereka semua. Begitulah setiap kelompok dari rombongan khalifah yang datang dibunuh. Tidak cukup dengan itu, pembunuhan berterusan terhadap seluruh penduduk Baghdad. Tidak ada yang terkecuali selain dari penduduk kota Baghdad yang bersembunyi. Hulagu juga membunuh khalifah dengan cara mencekiknya atas nasihat Ibnul Alqami.

Pembunuhan beramai oleh Tatar terhadap penduduk Baghdad berlangsung selama empat puluh hari. Satu juta mangsa yang terbunuh akibat kekejaman Tatar. Kota Baghdad hancur dibasahi darah, rumah penduduk porak-poranda, buku-buku peninggalan para ulama semua dibakar dan Baghdad telah jatuh kepada penguasa kafir Hulagu Khan.

[Lihat Al Bidayah wa Al Nihayah, vol. 13, hal. 192, 234 - 237, Al-Nujuum Al Zaahirah fii Muluuk Mishr wa Al Qahirah, vol. 2, hal. 259 - 260].

PENGHARAMAN BABI DALAM AL-QURAN


1) Surah al-Baqarah 2:173 – “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”

2) Surah al-Maidah 5:3 – “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), darah (yang keluar mengalir), daging babi (termasuk semuanya), binatang-binatang yang disembelih bukan kerana Allah, yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati jatuh dari tempat tinggi, yang mati ditanduk, yang mati dimakan binatang buas kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga), kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah.”

3) Surah al-An’am 6:145 – “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia kotor.”

4) Surah al-Nahl 16:115 – “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, binatang yang disembelih bukan kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dana tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa).

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”