Sahabat Rasulullah SAW yaitu Saiyidina Zaid bin Haritsah sedang bermusafir. Di pertengahan jalan, beliau terhadang dengan seorang perampok yang mengancam untuk membunuhnya.
Saat mendengar ugutan itu, Saiyidina Zaid telah meminta kepada perampok itu agar memberikannya sedikit masa untuk bersembahyang sunat 2 rakaat.
Perampok itu mengizinkan dan berkata :
”Orang lain seperti engkau pun meminta untuk bersembahyang sebelum dibunuh tetapi tidak memberi apa2 faedah pun pada diri mereka!”.
Lalu Saiyidina Zaid pun mengambil wuduk dan bersembahyang 2 rakaat serta berdoa kepada Allah Ta’ala.
Setelah beliau selesai berdoa, perompak itupun datang hendak membunuhnya. Tiba2 perompak itu telah dibunuh oleh seseorang.
Kejadian itu telah memeranjatkan Saiyidina Zaid, lalu beliau bertanya siapakah gerangan yang membunuh penjahat tadi.
Saiyidina Zaid diberitahu oleh pembunuh misteri itu bahawa dia adalah malaikat Allah! Malaikat tersebut juga berkata:
”Wahai Zaid! Tatkala engkau berdoa kali pertama dengan doa tadi maka gementar seluruh para malaikat, maka malaikat Jibril pun berkata:
”Siapakah yang akan menolong orang yang sedang berdukacita ini?
Maka aku pun menjawab kepada malaikat Jibril bahawa aku akan menolongmu. Ketika itu aku berada di langit yang ketujuh!
Apabila engkau berdoa kali kedua, aku sudah berada di langit dunia dan apabila doa kali ketiga engkau ucapkan, aku sudah sampai ditempatmu ini dan membunuh perompak itu!
Ketahuilah wahai Zaid! Siapa yang berdoa dengan doa ini maka permintaannya akan dikabulkan oleh Allah ketika itu juga!
Apabila sampai di kota Madinah Al-Munawwarah, Saiyidina Zaid pun bertemu Rasulullah s.a.w. dan menceritakan peristiwa yang berlaku ke atas dirinya, lalu baginda pun bersabda:
{Wahai Zaid! Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengajar kepadamu akan Ismul ’Azham (nama Allah yang teragung) yang apabila didoakan dengannya, akan diperkenankan dan apabila diminta dengannya, akan diberi.}
[Ya Allah, Maha Pencinta 3x Wahai Pemilik Arasy Yang Mulia, Wahai Zat Yang Menzahirkan, Wahai Zat Yang Mengembalikan, Wahai Zat Yang Berbuat SekehendakNya, aku memohon padaMu demi nur wajahMu yang memenuhi seluruh ruang ArasyMu, dan demi qudratMu yang telah Engkau taqdirkan ke atas sekelian makhlukMu, dan demi rahmatMu yang meliputi setiap sesuatunya, tiada tuhan melainkan Engkau, demi rahmatMu yang memberi pertolongan, Wahai Zat Yang Menolong orang yang meminta pertolongan, tolonglah aku 3x].
(Dari kitab Syamsul Maarif juz 2, juga kitab Fathul Malikil Majid, 62).
